Tuesday, November 6, 2012

Tangkal dalam poket baju pengantin

Pada pukul 3 petang, saya berada di rumah jiran pengantin perempuan. Di sana saya disiapkan oleh mak andam dengan memakai sepersalinan baju pengantin lelaki. Selepas memakai baju pengantin, acara seterusnya ialah diarak ke rumah pengantin perempuan dengan kumpulan kompang. Selepas itu bersanding. Bersanding agak lama, dan membosankan. Saya juga ingat, pada masa itu keadaan saya yang resah kerana panas dalam badan masih tetap sama tapi saya masih mampu tersenyum. Acara bersanding kemudian siap, lalu kami pergi makan berdamai. Habis makan, kami pun menuju ke bilik untuk berehat. Masa itu lebih kurang dalam pukul 5 petang.

Setelah masuk ke bilik, saya pun membuka songkok dan tengkolok. Kemudian saya membuka kain sampin. Setelah meletakkan sampin, saya terseluk poket baju pengantin saya. Saya kata terseluk kerana bukan niat saya untuk mengambil apa-apa dari poket baju itu. Saya terasa ada sesuatu benda. Masa itu isteri saya telah keluar dari bilik untuk urusan keluarga. Bila saya keluarkan dari poket, dan saya letakkan di atas telapak tangan, saya dapati ada lima ikatan kain berwarna merah berukuran lebih kurang 2 sentimeter setiap satu. Anda boleh bayangkan ikatannya seperti dodol yang di ikat dengan daun upih yang dijual di pasaraya, bezanya cuma saiznya kecil iaitu cuma 2 sentimeter. Saya melihat kelima-lima benda tersebut. Saya tak terasa takut atau seram, cuma hairan. Tertanya-tanya apa benda ni yang menyerupai tangkal dan dari mana datangnya. Saya cuba mengingat-ingat dari mula saya memakai baju itu hingga saya membukanya. Saya ingat bahawa semasa saya mula memakai baju itu, saya tidak terasa ada apa-apa dalam poket baju. Semasa saya memakai sampin juga, yang sepatutnya saya tersentuh-sentuh dengan poket baju, saya tidak merasa ada apa-apa dalam poket baju. Jadi bilakah masa tangkal-tangkal itu masuk kedalam poket ? Adakah mak andam telah memasukkan dari awal, tapi untuk apa ? (Hingga sekarang, mak andam tak ada meminta apa-apa semula dari saya, jika ada barangnya tertinggal atau tangkal untuk penenang pengantin). Hairan, memang hairan. Nasib baik saya bukan seorang yang penakut.

Saya kemudian letakkan kelima-lima tangkal itu diatas katil sambil terus memerhati dengan keheranan, lalu terus menukar baju.

Tidak lama kemudian, isteri saya masuk ke bilik. Saya tunjukkan tangka-tangkal itu padanya. Dia mengambil tangka-tangkal itu lalu bertanya : “Apa ni bang”. Saya kata saya tak tahu. Saya beritahu saya jumpa dalam poket baju pengantin dan tak tahu bila ia masuk dalam poket itu. Dia kemudian berkata : “Nanti saya beritahu emak.”, lalu dia keluar dari bilik dengan membawa benda-benda itu. Saya tidak mengikutnya tapi saya faham dia akan memberinya kepada ibunya.

(Dua hari kemudian, saya bertanya kepada isteri dimana benda-benda itu. Pada fikiran saya, saya teringin untuk memiliki benda itu sebab saya yang jumpa dan berada dalam baju pengantin yang saya pakai. Malangnya isteri saya memberitahu bahawa ibunya telah membuang benda-benda itu ke dalam sungai. Saya tidak bertanya sungai mana, tapi sungai yang paling dekat ialah Sungai Melaka, lebih kurang 5 km dari rumah. Saya terasa kesal tapi tak meluahkannya. Kesal kerana kemungkinan untuk mendapat tahu punca kehadiran benda-benda itu telah tiada. Kalaulah benda itu masih ada, tentu sesuatu boleh dilakukan).

No comments: