Saturday, November 10, 2012

Badan panas dalam perjalanan untuk bernikah

Semuanya menggembirakan hati dari tarikh berkenalan hingga bertunang. Begitu juga sehingga pada pagi hari aku patut bertolak dari rumah (di Muar) ke majlis bernikah (di Melaka). (Keluarga S berpindah ke Melaka dari Petaling Jaya setelah ayahnya berpencen Telekom).

Pada jam dimana rombongan mahu bertolak, aku mula merasa panas dalam badan. Pandangan aku mulai sedikit berpinar. Bagaimanapun aku masih dapat mengawal keadaan dan melakukan perkara yang perlu serta bersembang atau bergurau dengan ahli-ahli rombongan yang rata-rata adalah saudara-mara sendiri. Perasaan gelisah juga dapat saya kawal.

Jarak perjalanan dari rumah di Muar ke destinasi di Melaka lebih kurang 50 kilometer. Sepanjang perjalanan, aku semakin resah kerana dalam badan terasa panas dan tak keruan. Dalam otak seperti ada kebas-kebas dan sekeliling mata berpinar. Sekeliling dahi terasa kebas dan susah nak berfikir.

Apabila sampai lebihkurang 300 meter dari rumah bakal pengantin perempuan, keluh-kesah dan resah saya semakin tidak tertahan. Ada dorongan dan bisikan dalam dada dan kepala supaya saya tidak meneruskan pernikahan. Panas dalam badan berterusan.

Saya berkata kepada pemandu kereta yang saya naiki : “Berhenti”. Dia bertanya : “Kenapa ?”. Saya kata lagi : “Berhenti. Berhenti”. Lalu dia pun memberhentikan kereta di bahu jalan. Tiga buah kereta lain yang mengiringi turut berhenti dibahu jalan.

Selepas berhenti, saya berkata : “Kita patah balik”. Pemandu saya bertanya : “Kenapa ni ?”. Saya kata : “Patah balik”. Pemandu keluar dan berbincang dengan anggota rombongan yang lain. Keadaan saya masa tu memang berterusan tidak keruan, panas, risau, rimas, fikiran kusut dan macam-macam lagi.

Seorang demi seorang ahli rombongan berjumpa saya dan memberi nasihat. “Tak baik buat macam ni, kesian dia orang dah bersiap sedia. Lagi pun dah dekat sangat ni. Teruskan saja lah.”. Itulah antara nasihat yang masuk dek akal saya. Saya pun kata “Ye lah” dengan lemah tapi mereka memang tak faham dengan apa yang sedang saya alami. Saya tidak tahu apa yang menyerang badan dan fikiran saya. Saya bukan mahu mempermainkan sesiapa.

Selepas itu, rombongan pun bergerak kerumah pengantin perempuan. Sampai disana, kami diminta pergi ke mesjid berdekatan kerana upacara nikah akan diadakan di masjid. Dipendekkan cerita, upacara nikah pun selamat diadakan di mesjid sekitar jam 11 pagi dan kami pulang ke rumah pengantin perempuan untuk majlis bersanding pula. Kami ditempatkan disebuah rumah jiran untuk menunggu masa makan dan bersanding jam 3 petang nanti.

Sepanjang tempoh itu, badan saya berterusan panas dan rimas dan menjadi letih, seakan-akan jadi zombi pulak.

No comments: