Thursday, November 22, 2012

Pengenalan

Buku ini ditujukan kepada sesiapa sahaja yang belum percaya kepada adanya perkara ghaib, hantu dan syaitan dan gejala seumpamanya yang sentiasa cuba mengganggu kehidupan manusia. Saya, seperti anda, dahulu tidak percaya kepada perkara seperti ini, menganggap hal ini adalah tahyul, tidak boleh di buktikan dengan cara saintifik, kerana kita dimomokkan dengan kecanggihan sains dan teknologi, hingga menafikan apa saja yang tidak saintifik. Setelah terkena sendiri, pandangan saya berubah. Bagi saya sekarang, sains dan teknologi tidak boleh menafikan keujudan dimensi selainnya. Keduanya ujud seiring. Memang,hantu dan syaitan tidak menyerang semua orang, anda mungkin belum dijadikan mangsanya. Kerana anda belum menerima serangan, tidak bermakna gejala itu tidak ujud, cuma anda belum dihidunya. Ya, berdoalah supaya anda tidak diserang, tapi jangan menafikan ujudnya. Selamat membaca.

Kepada yang sudah percaya, buku ini boleh menjadi tambahan kepada koleksi anda.

Ringkasan buku ini

Buku ini mengisahkan satu kisah benar yang dialami oleh kawan penulis sendiri sepanjang perkahwinannya yang berlangsung selama hampir dua belas tahun. Apa yang mahu diceritakan ialah kejadian-kejadian anih dan pelik yang berlaku sepanjang tempoh itu. Penulis juga memasukkan beberapa peristiwa yang bukan pelik atau anih tetapi mungkin boleh dikaitkan dengan kejadian-kejadian yang anih dan pelik itu.

Sedikit tentang pencerita

Penulis berpendirian untuk tidak mendedahkan diri untuk menjaga nama baik pihak-pihak yang berkaitan dengan kisah ini. Pembaca mungkin boleh membuat tekaan atau andaian tetapi andaian dan tekaan itu adalah diluar pengetahuan penulis dan penulis tidak bertanggungjawab keatasnya. Seeloknya penulis meminta pembaca supaya tidak membuat tekaan atau andaian berkenaan pihak yang berkaiatan dengan kejadian-kejadian anih dan pelik yang dipaparkan dalam buku ini.

Hebatkah cerita ini

Pada pandangan penulis sendiri, buku ini tidaklah hebat. Apa yang penting ialah kesahihan cerita ini, dan bilangan peristiwa-peristiwa anih yang banyak yang berlaku dalam hanya satu rumahtangga. Penulis berani berkata bahawa fenomena ini begitu jarang berlaku pada rumahtangga lain, berdasarkan tiada buku seumpama ini diterbitkan, sepanjang pengetahuan penulis.

Bersabarlah dengan gaya bahasa buku ini

Saya berharap para pembaca bersabar dengan gaya bahasa penulis jika anda dapati ianya kurang lancar. Ini adalah karya penulis yang pertama (dan mungkin yang terakhir) dalam penulisan kisah misteri. Jadi, penulis bukanlah biasa menulis buku seperti ini dan sudah tentu juga kurang mahir dengan teknik dan tektik penulisan kisah-kisah misteri. Inilah sahaja kisa-kisah misteri yang penulis alami, dengan sebenar-benarnya, dimana penulis berpendapat kisah ini perlu dikongsi bersama orang lain semoga dapat dijadikan iktibar dan panduan.

Kepada yang tidak percaya kisah misteri

Dulu saya memang tak percaya adanya mahluk-mahluk yang boleh mengganggu orang, maklumlah dulu masa zaman saya muda, memang tengah ada satu macam suasana anti-tahyul. Dikatakan, ini zaman sains dan teknologi, mana ada benda-benda ghaib, kata kebanyakan orang masa itu. Tetapi bila saya sendiri mengalami, sekarang saya 100% percaya. Kalau ada orang cakap pada saya dia tak percaya perkara tahyul, saya hanya gelak dalam hati - kadang-kadang saya berharap sendiri agar dia mengalami sendiri satu masa nanti, baru padan muka. Nasihat saya kepada orang yang tidak percaya ialah supaya anda percaya dan berdoalah supaya anda tidak mengalaminya atau diganggunya.

Sunday, November 18, 2012

Berkenalan dengan S

S ialah bekas isteriku. Sepanjang perkahwinan dengannyalah kami mengalami banyak kejadian-kejadian anih dan pelik, samada dalam rumah atau di luar rumah.

Semasa aku mengenali S, aku tinggal di Taman Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur.

Aku mengenali S melalui seorang yang aku kenali secara tidak langsung. Ketika itu aku sedang duduk-duduk sambil minum seorang diri di satu gerai minuman di Kompleks Ipoh di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, untuk menghilangkan penat lepas balik dari kerja, sekitar jam 6 petang. Seorang lelaki meminta izin untuk duduk semeja dengan aku. Aku setuju. Kami pun berbual-bual. Dalam masa berbual itu dia menyatakan dia boleh memperkenalkan saya dengan seseorang. Dia mengatakan, akan menghubungi gadis berkenaan untuk menemukan dengan saya.

Selepas seminggu, dia menghubungi aku dan menyatakan dia telah menghubungi gadis berkenaan dan gadis itu bersetuju untuk bersemuka denganku.

Pada hari yang ditentukan, aku sampai dulu ke pejabat lelaki berkenaan selepas pulang dari pejabat di Jalan Duta dalam pukul 6 ptg. Tidak lama kemudian, gadis itu pun sampai. Kami diperkenalkan.

(Pada masa aku menulis buku ini, aku sudah lupa nama lelaki berkenaan. Kami hampir tidak berhubung langsung).

(Hmm.. tiada apa yang pelik dalam bab ini, hanya saya menceritakan detik satu perkenalan).

Thursday, November 15, 2012

S hisap rokok

Selepas kami diperkenalkan, kami pun membawa diri. Kami masuk ke sebuah restoran berdekatan dan berbual-bual disana. Restoran itu mempunyai bilik-bilik bercermin khusus untuk mereka yang mahu privacy.

Setelah duduk, saya agak terkejut bila mendapati S mengeluarkan kotak rokok lalu mengambil sebatang dan memasang api rokok kemudian menghisapnya. Dia kemudian bercerita tentang tugas dan kerjanya dan kami pun berbual-bual. Sambil berbual-bual saya perhatikan bahawa S nampaknya bukanlah perokok sebenar, berdasarkan cara dia memegang puntung rokok dan cara dia menghembuskan asap rokoknya. Saya fikir mungkin dia mahu menghilangkan gemuruhnya. Saya tidak pula bertanya samada dia seorang perokok kerana saya percaya saya boleh mengetahuinya bila telah lama berkenalan nanti.

(Memang benar, setelah beberapa bulan berkenalan dan berjumpa beberapa kali, saya tidak pernah nampak lagi dia menghisap rokok).

Saya memasukkan tajuk ini kerana saya syak tentang adanya hubungkait berikut : Kemungkinan S menghisap rokok dan menghembuskan asap rokok sebagai cara untuk ‘menangkap’ saya supaya saya suka terus kepadanya. Dia mungkin mendapat petua ini daripada neneknya. Anda akan mendapat beberapa cerita lagi tentang nenek ini kemudian nanti.

Setelah agak lama berbual, saya menghantar S pulang ke rumahnya di Kawasan Melayu, Petaling Jaya.

Monday, November 12, 2012

Nenek dikatakan menarik pelanggan dengan membaca sesuatu

Satu hari saya diajak oleh S ke kedai makan kepunyaan nenek saudaranya itu di satu medan selera di Seksyen 14 Petaling Jaya.

Setelah sampai, kami pun menempah makanan lalu duduk. Dipendekkan cerita, S memberitahu bahawa nenek itu mempunyai kebolehan istimewa untuk menarik pelanggan ke kedainya. Tidak lama kami menjamah makanan, nenek itu yang dari tadi sibuk melayan pelanggan, duduk di meja kami. Isteri saya berbual-bual biasa dengan nenek.

Satu ketika, S berkata kepada nenek : “Cuba yang tu”. Saya tidak faham dengan apa yang dikatakan oleh S. Bagaimanapun, S melihat kepada seorang lelaki yang baru memasuki medan selera itu. Nenek menjawab : “Boleh”.

Nenek itu pun nampaknya seperti memfokus pada lelaki tadi yang sedang masuk kedalam medan selera. S berkata kepada saya : “Awak tengok ya, lelaki tu pasti akan datang makan ke kedai nenek”. Saya pun menunggu. Saya masih kurang pasti apa yang dimaksudkan.

Lelaki tadi mula-mula bergerak menjauhi gerai nenek kearah hujung medan, melewati beberapa gerai lain, kemudian berpusing semula, lalu duduk disalah satu meja dikawasan kedai nenek. Pekerja gerai nenek kemudian melayan lelaki itu dengan bertanyakan makanan yang mahu dipesannya.

Saya dan S tidak berkata apa-apa. Kami menghabiskan makanan, kemudian berbual sebentar lalu meminta diri beredar. Saya tidak pasti samada ini benar hasil ilmu nenek atau hanya kebetulan.

Saturday, November 10, 2012

Badan panas dalam perjalanan untuk bernikah

Semuanya menggembirakan hati dari tarikh berkenalan hingga bertunang. Begitu juga sehingga pada pagi hari aku patut bertolak dari rumah (di Muar) ke majlis bernikah (di Melaka). (Keluarga S berpindah ke Melaka dari Petaling Jaya setelah ayahnya berpencen Telekom).

Pada jam dimana rombongan mahu bertolak, aku mula merasa panas dalam badan. Pandangan aku mulai sedikit berpinar. Bagaimanapun aku masih dapat mengawal keadaan dan melakukan perkara yang perlu serta bersembang atau bergurau dengan ahli-ahli rombongan yang rata-rata adalah saudara-mara sendiri. Perasaan gelisah juga dapat saya kawal.

Jarak perjalanan dari rumah di Muar ke destinasi di Melaka lebih kurang 50 kilometer. Sepanjang perjalanan, aku semakin resah kerana dalam badan terasa panas dan tak keruan. Dalam otak seperti ada kebas-kebas dan sekeliling mata berpinar. Sekeliling dahi terasa kebas dan susah nak berfikir.

Apabila sampai lebihkurang 300 meter dari rumah bakal pengantin perempuan, keluh-kesah dan resah saya semakin tidak tertahan. Ada dorongan dan bisikan dalam dada dan kepala supaya saya tidak meneruskan pernikahan. Panas dalam badan berterusan.

Saya berkata kepada pemandu kereta yang saya naiki : “Berhenti”. Dia bertanya : “Kenapa ?”. Saya kata lagi : “Berhenti. Berhenti”. Lalu dia pun memberhentikan kereta di bahu jalan. Tiga buah kereta lain yang mengiringi turut berhenti dibahu jalan.

Selepas berhenti, saya berkata : “Kita patah balik”. Pemandu saya bertanya : “Kenapa ni ?”. Saya kata : “Patah balik”. Pemandu keluar dan berbincang dengan anggota rombongan yang lain. Keadaan saya masa tu memang berterusan tidak keruan, panas, risau, rimas, fikiran kusut dan macam-macam lagi.

Seorang demi seorang ahli rombongan berjumpa saya dan memberi nasihat. “Tak baik buat macam ni, kesian dia orang dah bersiap sedia. Lagi pun dah dekat sangat ni. Teruskan saja lah.”. Itulah antara nasihat yang masuk dek akal saya. Saya pun kata “Ye lah” dengan lemah tapi mereka memang tak faham dengan apa yang sedang saya alami. Saya tidak tahu apa yang menyerang badan dan fikiran saya. Saya bukan mahu mempermainkan sesiapa.

Selepas itu, rombongan pun bergerak kerumah pengantin perempuan. Sampai disana, kami diminta pergi ke mesjid berdekatan kerana upacara nikah akan diadakan di masjid. Dipendekkan cerita, upacara nikah pun selamat diadakan di mesjid sekitar jam 11 pagi dan kami pulang ke rumah pengantin perempuan untuk majlis bersanding pula. Kami ditempatkan disebuah rumah jiran untuk menunggu masa makan dan bersanding jam 3 petang nanti.

Sepanjang tempoh itu, badan saya berterusan panas dan rimas dan menjadi letih, seakan-akan jadi zombi pulak.

Tuesday, November 6, 2012

Tangkal dalam poket baju pengantin

Pada pukul 3 petang, saya berada di rumah jiran pengantin perempuan. Di sana saya disiapkan oleh mak andam dengan memakai sepersalinan baju pengantin lelaki. Selepas memakai baju pengantin, acara seterusnya ialah diarak ke rumah pengantin perempuan dengan kumpulan kompang. Selepas itu bersanding. Bersanding agak lama, dan membosankan. Saya juga ingat, pada masa itu keadaan saya yang resah kerana panas dalam badan masih tetap sama tapi saya masih mampu tersenyum. Acara bersanding kemudian siap, lalu kami pergi makan berdamai. Habis makan, kami pun menuju ke bilik untuk berehat. Masa itu lebih kurang dalam pukul 5 petang.

Setelah masuk ke bilik, saya pun membuka songkok dan tengkolok. Kemudian saya membuka kain sampin. Setelah meletakkan sampin, saya terseluk poket baju pengantin saya. Saya kata terseluk kerana bukan niat saya untuk mengambil apa-apa dari poket baju itu. Saya terasa ada sesuatu benda. Masa itu isteri saya telah keluar dari bilik untuk urusan keluarga. Bila saya keluarkan dari poket, dan saya letakkan di atas telapak tangan, saya dapati ada lima ikatan kain berwarna merah berukuran lebih kurang 2 sentimeter setiap satu. Anda boleh bayangkan ikatannya seperti dodol yang di ikat dengan daun upih yang dijual di pasaraya, bezanya cuma saiznya kecil iaitu cuma 2 sentimeter. Saya melihat kelima-lima benda tersebut. Saya tak terasa takut atau seram, cuma hairan. Tertanya-tanya apa benda ni yang menyerupai tangkal dan dari mana datangnya. Saya cuba mengingat-ingat dari mula saya memakai baju itu hingga saya membukanya. Saya ingat bahawa semasa saya mula memakai baju itu, saya tidak terasa ada apa-apa dalam poket baju. Semasa saya memakai sampin juga, yang sepatutnya saya tersentuh-sentuh dengan poket baju, saya tidak merasa ada apa-apa dalam poket baju. Jadi bilakah masa tangkal-tangkal itu masuk kedalam poket ? Adakah mak andam telah memasukkan dari awal, tapi untuk apa ? (Hingga sekarang, mak andam tak ada meminta apa-apa semula dari saya, jika ada barangnya tertinggal atau tangkal untuk penenang pengantin). Hairan, memang hairan. Nasib baik saya bukan seorang yang penakut.

Saya kemudian letakkan kelima-lima tangkal itu diatas katil sambil terus memerhati dengan keheranan, lalu terus menukar baju.

Tidak lama kemudian, isteri saya masuk ke bilik. Saya tunjukkan tangka-tangkal itu padanya. Dia mengambil tangka-tangkal itu lalu bertanya : “Apa ni bang”. Saya kata saya tak tahu. Saya beritahu saya jumpa dalam poket baju pengantin dan tak tahu bila ia masuk dalam poket itu. Dia kemudian berkata : “Nanti saya beritahu emak.”, lalu dia keluar dari bilik dengan membawa benda-benda itu. Saya tidak mengikutnya tapi saya faham dia akan memberinya kepada ibunya.

(Dua hari kemudian, saya bertanya kepada isteri dimana benda-benda itu. Pada fikiran saya, saya teringin untuk memiliki benda itu sebab saya yang jumpa dan berada dalam baju pengantin yang saya pakai. Malangnya isteri saya memberitahu bahawa ibunya telah membuang benda-benda itu ke dalam sungai. Saya tidak bertanya sungai mana, tapi sungai yang paling dekat ialah Sungai Melaka, lebih kurang 5 km dari rumah. Saya terasa kesal tapi tak meluahkannya. Kesal kerana kemungkinan untuk mendapat tahu punca kehadiran benda-benda itu telah tiada. Kalaulah benda itu masih ada, tentu sesuatu boleh dilakukan).

Video ayah mertua mundar mandir

Keesokan harinya, pada sebelah siang, kami sekeluarga dan beberapa orang saudara-mara menonton video majlis perkahwinan semalam. Salah satu perkara yang agak berlainan ialah bilamana didapati ayah mertua saya berjalan mundar-mandir di halaman rumah dengan kepantasan luar dari kebiasaan, seperti orang risau mencari-cari sesuatu. Sekejap berjalan ke satu arah kemudian berpatah balik dan begitulah berulang-ulang. Beliau tidak pula kelihatan bercakap-cakap dengan orang-orang yang bekerja di majlis itu.

Sebenarnya saya tidak begitu memerhati perkara ini sehinggalah salah seorang anak buah berkata : “Eh kenapa Pak Long macam tu.”. Selepas itu yang lain-lain pun perasan dan mengiakan bahawa gelagat ayah mertua pada hari itu memang agak berlainan. Isteri saya pun seperti agak merasa pelik dengan keadaan itu.

Sesungguhnya, bila saya fikirkan kembali sekarang ini, saya seperti mahu mengaitkan gelagat ayah mertua itu dengan kejadian-kejadian anih yang lain yang berlaku kepada rumahtangga saya, bagaimanapun kerana tiada bukti saintifik, hal ini saya pendamkan sahaja.

Monday, November 5, 2012

Makcik disalahkan bila beras dimasak tak mau tanak

Saya mengetahui perkara ini sebulan selepas majlis bersanding, selepas saya terdengar ayah mertua marah-marah tetapi saya tidak jelas apa isunya. Dia sedang melahirkan kemarahannya di depan mak mertua, jadi saya tidak mahu campur kerana ini urusan orang tua. Dia bukan marahkan mak mertua tapi seseorang lain.

Sejam lepas tu, bila keadaan reda dan ayah mertua tiada di rumah, saya bertanya kepada isteri : “Kenapa tadi ?”. Isteri pun memberitahu saya. Dia memberitahu bahawa ayahnya marah pada seorang makciknya (sebelah maknya) kerana tidak mendengar kata-katanya. Ia berkenaan dengan beras yang digunakan semasa majlis perkahwinan dahulu. Ayah mertua mahu membeli sendiri beras itu tapi makcik itu berkeras supaya dia yang membeli. Apa yang berlaku rupanya ialah semasa majlis perkahwinan, ada satu kumpulan beras yang dimasak tidak mahu tanak. Ayah mertua menyalahkan makcik itu kerana ada beras yang lama untuk dimasak. Akibatnya tukang masak membuang beras yang sedang di masak itu dan ayah mertua terpaksa membeli beras lagi dari kedai yang berdekatan. Selepas itu barulah nasi boleh ditanak.

Pada hari kejadian, ayah mertua telah merungut dan berkata sesuatu kepada makcik itu. Akibatnya, makcik telah tersinggung dan terus beredar dari majlis.

(Saya tidak mendengar kabar berita tentang makcik itu dalam tempoh yang lama, hampir sebelas tahun. Isteri saya dan keluarganya tidak pernah pergi ke rumah makcik itu dan begitu juga sebaliknya, walaupun semasa hariraya korban dan hariraya puasa atau ketika ada kenduri-kendara di rumah saudara-mara. Makcik itu boleh dikatakan telah menghilangkan diri. Bila saya tanya kepada isteri dimana makcik yang sorang ini, isteri saya sering berkata : “Tak tahu. Mungkin makcik E tahu”. (Makcik E ialah makciknya yang lain). Saya tanya balik : “Kenapa ?”. Dia menjawab : “Dia orang kan kawan baik.”. Saya tanya lagi : “Kalau makcik E tahu, tentu mak dan ayah pun tahu.”. Saya dijawab : “Entah”. Saya tak mahu pulak bertanya lanjut. Pada fikirain saya, mungkin kerana kemarahan keluarganya menyebabkan dia tak berminat untuk membicarakan perkara ini.

(Sebenarnya makcik ini janda dan tiada anak dan telah berumur sekitar 45 tahun pada masa itu. Dia bercerai setelah suaminya ditangkap polis kerana menghisap dadah).